ISKANDAR PUTERI- Kenderaan berat atau lebih muatan termasuk kekerapan kerja-kerja pengalihan utiliti seperti paip saluran air menjadi antara faktor utama kerosakan Lebuhraya Pasir Gudang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Fazli Mohd Salleh berkata,  laluan sepanjang kira-kira 38 kilometer (km) itu dibina bagi menampung ketahanan lori muatan berat 30 tan sahaja.

“Membaiki jalan bukan satu-satunya langkah penyelesaian kerosakan jalan yang kerap berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang.

“Kita telah pun berjumpa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Lori muatan lebih 60 tan dikenal pasti kerap menggunakan laluan lebuh raya tersebut,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Kata Mohd Fazli lagi, perbincangan mengenai kaedah yang lebih sesuai bagi mengelak kerja-kerja pengorekan oleh syarikat utiliti di kawasan jalan raya berulang sedang dilakukan bersama Koridor Utiliti Johor (KUJ)

Jelas beliau, kekerapan kerja utiliti seperti kabel elektrik, saluran air dan talian telefon  secara tidak langsung akan mengganggu struktur tanah di tengah jalan.

“Kos terbesar kerja-kerja pelebaran jalan Lebuhraya Pasir Gudang kepada tiga lorong bernilai RM75 juta yang kini sedang dilaksanakan, membabitkan pengalihan utiliti,” katanya.

Khamis lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berharap Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan bagi membaiki jalan rosak dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang.-MalaysiaGazette