Foto Facebook Shahaniza Shamsuddin.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin melakar sejarah peribadi dalam karier politiknya apabila memenangi jawatan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Sesi 2023-2026 selain berjaya mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran untuk penggal kedua.

Kejayaan itu diumumkan oleh beliau di Facebook miliknya sebentar tadi.

“Terima kasih kepada lebih 180,000 perwakilan seluruh negara. Terima Kasih kepada sahabat yg tidak kenal erti penat dan lelah membantu.

“Terima kasih kepada perwakilan UMNO Bahagian Maran kerana masih memberi kepercayaan kepada saya.

“Tahniah kepada yang telah menawarkan untuk bertanding kerana dapat melalui proses pemilihan dengan penuh kematangan. Menang atau kalah itu adat pertandingan. Apa yang penting ialah kita masih dalam rumpun keluarga yang sama.

“Mohon maaf kepada semua kerana pastinya ada yang tersilap dari sudut percakapan dan perbuatan saya.

“Together we move forward bersama-sama dengan Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkukuhkan parti keramat ini,” tulisnya di Facebook miliknya.

Menerusi laman Facebook UMNO Online yang bersiaran secara langsung, Shahaniza satu-satunya calon wanita yang berada dalam kedudukan 10 daripada 25 terbaik apabila mendapat lebih 100 undi bahagian.

Shahaniza merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Pahang namun tewas sebagai calon Ahli Parlimen Maran Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu.

Beliau merupakan bekas Ketua Puteri UMNO Pahang yang pertama sehingga 2004 dan pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO di awal penubuhan sayap parti itu.

Pada Pemilihan UMNO 2023 ini seramai 95 calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan MKT di mana tujuh calon adalah wanita.

Selain Shahaniza, turut bertanding adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Rosni Sohar, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Julie Sabran. – MalaysiaGazette