Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkenan memeriksa kawalan kehormat hadir pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menghadiri Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di sini pagi ini.

Turut berangkat pada istiadat yang diadakan di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah sambutan Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan hadir pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2023.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang turut tiba ke istiadat yang penuh berprotokol itu.

Seramai 102 anggota kawalan kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam Istiadat Perbarisan yang diketuai Pegawai Pemerintah Baris, Deputi Superintendan Mohd Zulfadhli Zulkifli dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 yang bertemakan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”

Istiadat perbarisan turut meriah dengan penyertaan seramai 543 pegawai kanan dan pegawai rendah pelbagai jabatan PDRM.

Di ruang udara, lintas hormat 3 buah helikopter pasukan Gerakan Udara jenis AS 355 dan AW 139 telah dikemudi oleh juruterbang PDRM, Superintendan Muhammad Jefri Jaafar, Superintendan Shaifuddin Mohd Noor dan Superintendan Hasli Hassan.

Istiadat turut melibatkan gabungan persembahan pancaragam melibatkan 18 ekor unit anjing pengesan K9 jenis German Shelphard dan Labrador, 13 ekor kuda jenis Tara, Arabian, Polo dan Warm Blood yang diletakkan di bawah perintah dan kawalan komander pasukan Simpanan Persekutuan yang diketuai Deputi Supritendan Nurhidayah Damanhoori serta aset kenderaan PDRM.

Turut diadakan persembahan pentomin yang menunjukkan peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo Lahad Datu, Di Sabah dikreorgraferkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.

Ia disertai oleh 86 pegawai dan pegawai rendah polis serta empat orang anakanda kepada wira negara yang terkorban dalam insiden tersebut disusuli deklamasi sajak memperingati insiden menyedihkan itu.-MalaysiaGazette