KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim meramalkan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 23 Mac hingga pertengahan Mei tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2022/23 yang telah bermula sejak 7 November tahun lalu.
“Semasa Fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette