KUALA LUMPUR – Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli ke Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di sini hari ini memberi moral dan motivasi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sambutan peringatan Hari Polis Ke-216 itu merupakan satu tempoh yang agak panjang kepada PDRM.
Katanya, sambutan kali ini sudah tentunya pasukan polis membawa satu timbunan jasa yang besar dalam memastikan keselamatan negara keseluruhannya dijamin setiap masa.
“Hari ini sambutan polis kali ini menjadi lebih manis dengan menerima tetamu Tuanku Seri Paduka dan Raja Permaisuri, perdana menteri dan isterinya (Anwar dan Wan Azizah).
“Biasanya yang datang PM sahaja sebab itu buat hari ini kehadiran Agong memberi impak yang besar kepada moral dan motivasi pasukan polis.
“Bagi seluruh keluarga besar pasukan polis, saat ini tentunya menjadi saat yang sangat berharga yang akan mendorong pasukan polis untuk menjadi sebuah pasukan yang kompiten dan meningkatkan komitmen profesionalisme sesuai dengan tugas hakiki kepolisan,” katanya ketika ditemui di sambutan itu di sini hari ini.
Beliau juga merakamkan setinggi tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengetuai pasukan dan menunjukkan tahap sumbangan dan perkhidmatan yang cukup luar biasa selama ini.
“Terutamanya dalam suasana negara ketika ini yang sedang melalui fasa-fasa untuk melihat satu proses kestabilan politik yang berjaya kita capai seterusnyta fokus kepada memulihkan kembali ekonomi serta melaksanakan fokus kepada agenda rakyat..kerana keamanan itu adlah kunci segala-galanya,” tegasnya.
Turut hadir memeriahkan istiadat itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri beliau serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang selain Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Di majlis yang sama, PDRM juga menerima kenderaan pacuan empat roda oleh Tenaga Nasional Berhad kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tanpa melibatkan kos atau bajet kerajaan untuk membanteras jenayah kecurian elektrik yang memberi kerugian ratusan juta ringgit kepada negara.
Sumbangan sedemikian akan meningkatkan kekuatan aset pasukan polis dalam membanteras jenayah kecurian utiliti secara lebih efisien selepas ini, kata Saifuddin.
Ditanya mengenai kebajikan polis dari segi perumahan dan soal kenaikan gaji, Saifuddin menegaskan, ia menjadi satu agenda berterusan pihak kerajaan dan bukan isu bermusim sempena Hari Polis sahaja.
“Bila kita perhatikan bajet yang dibentangkan tempoh hari, aspek kebajikan yang berupa keselesaan tempat tinggal itu, Perdana Menteri telah umumkan sebesar RM500 juta secara bersama dengan Kementerian Pertahanan untuk tujuan menaiktaraf kemudahan tempat tinggal anggota polis.
“Itu aspek kebajikan yang turut diberi perhatian, jadi hal-hal lain seumpama semakan semula gaji dan sebagainya itu usaha berterusan yang diusahakan pasukan polis.
“Misalnya, baru-baru ini JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) meluluskan soal elaun khas kepada Unit Tindakan Khas PDRM. Jadi usaha itu bukan usaha bermusim, kajian tentangnya ialah kajian yang berterusan,” tegasnya.- MalaysiaGazette