surat ROS
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap pegawainya berhubung kes penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SPRM bebas untuk melakukan apa juga bentuk siasatan bersesuaian.

“Bagi saya yang menerajui KDN, itu adalah ruang tugas dan ruang tanggungjawab SPRM.

“Mereka harus diberikan ruang seluasnya untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui dalam sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, SPRM berjaya membongkar penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta untuk melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian kerajaan.

Susulan itu, empat individu berusia lingkungan antara 40 hingga 55 tahun termasuk seorang pengarah, ketua pegawai kewangan dan seorang pemegang saham telah ditahan SPRM.

Tiga daripada empat suspek berkenaan direman selama tiga hari sehingga 17 Mac lalu selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sukuk bernilai tinggi itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan serta hasil projek itu perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

Bagaimanapun, akaun khas itu kemudiannya telah ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelak daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang sukuk.

Sukuk itu dijangkakan mencapai tempoh matang pada Mei tahun 2023 selepas perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun. – MalaysiaGazette