SERDANG – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkenaan pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, pihaknya kini dalam fasa memperhalusi semua fasal berkaitan akta berkenaan supaya penambahbaikan atau pindaan dapat dilaksanakan.
“KPT sedang mengkaji secara mendalam kerana kita nak lakukan secara menyeluruh, (lihat) satu persatu, jadi nak tengok secara menyeluruh apa lagi yang perlu dipinda,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Farm Fresh Berhad (FFB) bagi membangunkan Pusat Edutourism di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Hadir sama menyaksikan pertukaran MoA itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Ketua Pegawai Operasi FFB, Azmi Zainal.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Dialog Anak Muda pada Ahad memberi jaminan untuk menghapuskan AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan salah seorang peserta dalam program itu yang memintanya menyatakan pendirian mengenai AUKU.
Pada 24 Februari lalu, menurut laporan sebuah portal, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU.
Menurutnya, undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti dan kerajaan juga terbuka untuk menambah baik serta melibatkan pihak berkepentingan dalam AUKU. – MalaysiaGazette