Friday, April 26, 2024
Home Ekonomi Nilai jualan industri francais negara cecah RM26 bilion

Nilai jualan industri francais negara cecah RM26 bilion

Ewon Benedick.
KUALA LUMPUR – Nilai jualan industri francais negara telah mencapai RM26 bilion, iaitu terbesar setakat ini berbanding RM14 bilion pada 2020, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan industri berkenaan meningkat sebanyak 71 peratus pada 2021.
“Oleh itu, kerajaan menyasarkan 16 industri francais akan berkembang antara 20 peratus hingga 30 peratus pada tahun ini,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) di Dewan Rakyat hari ini.

Ewon berkata sehingga Disember 2022, industri francais negara merekodkan 1,197 syarikat francaisor berdaftar dengan 713 daripadanya adalah syarikat francaisor tempatan manakala 428 merupakan syarikat francaisor luar negara.

Menurutnya, Kuskop sentiasa menggalakkan koperasi untuk terlibat dalam perniagaan francais bagi merancakkan lagi pembangunan dan sumbangan industri francais untuk meningkatkan pendapatan.
Kementerian melalui Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah memperkenalkan Program Business in Transformation (BIT) pada 2013 sebagai program transformasi perniagaan untuk usahawan mikro lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan.
Melalui program BIT, usahawan kecil akan dibimbing untuk menaik taraf perniagaan dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan bagi membantu meningkatkan sumber pendapatan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan industri francais. – BERNAMA