Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat antara juadah makanan yang terdapat pada Kenduri Menu Rahmah di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

KUALA KUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengotakan janji beliau apabila menjamu wakil rakyat dengan hidangan Menu Rahmah di Parlimen hari.

Dikenali Kenduri Menu Rahmah, acara berlangsung meriah itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama menteri Kabinet, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan dan pembangkang.

Turut hadir, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli Parlimen merasai sendiri hidangan yang kini disediakan di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Sementara itu, Kenduri Menu Rahmah membabitkan 15 gerai yang terdiri daripada restoran jenama popular di negara ini seperti McDonalds, A&W, MarryBrown dan Temerloh Catering Sdn. Bhd.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli bersama Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman juga tidak melepaskan peluang mencuba antara juadah makanan yang terdapat pada Kenduri Menu Rahmah di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

Menu Rahmah merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan orang ramai khususnya yang kurang berkemampuan menikmati hidangan tengah hari dan malam pada harga maksium RM5.

Ia terdiri daripada nasi putih, ayam atau ikan dan sayur namun sehingga kini pelbagai pihak sudah menyambut inisiatif berkenaan dengan menyedia menu seperti burger dan bubur bagi restoran makanan segera. – MalaysiaGazette

Orang ramai tidak melepaskan peluang mengambil juadah makanan yang terdapat pada Kenduri Menu Rahmah di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.