Taman Safari Indonesia

KUALA LUMPUR – Kumpulan Taman Safari Indonesia (TSI) bersedia untuk meningkatkan kerjasama bersama syarikat serantau dan antarabangsa dalam rangka mempromosi sektor pelancongan Indonesia pada masa depan.

Wakil Presiden Komunikasi Korporasi TSI Group, Ruth Noviana berkata, langkah itu dibuat bersama sembilan unit perniagaannya yang mengambil bahagian dalam Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Keputusan untuk menyertai MATTA Fair merupakan peluang besar untuk memberikan pengetahuan disamping mempromosi TSI kepada pelancong dari luar tentang keunikan taman ini.

“Selain itu, kami ingin meningkatkan dan meneroka masa depan perkongsian dengan ejen pelancongan di seluruh Asia Pasifik dan sebagai medium untuk memperkenalkan semua unit perniagaan TSI,”  katanya dalam kenyataan.

Pameran MATTA berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, Malaysia bermula 17-19 Mac lalu.

Wakil Presiden Komunikasi Korporasi TSI Group, Ruth Noviana

Tambah Noviana, Taman Safari Indonesia menjadi fokus dalam pelancongan kali ini kerana mempunyai lebih 4,636 haiwan dari 300 spesies malah merekodkan lebih dua juta pengunjung setiap tahun.

Menerusi sumbangan dalam menyelamatkan, memulihkan dan melepaskan beribu-ribu haiwan kepada hidupan liar sejak 1980, TSI menjadi salah satu daripada institut pemuliharaan dunia untuk haiwan endemik Indonesia dan spesies terancam dunia mengikut senarai kategori dan kriteria Merah IUCN.

Dalam pada itu, Noviana berkata, TSI sebelum ini telah memenangi sebanyak empat pensijilan antarabangsa dan 16 anugerah kebangsaan untuk pusat pemuliharaan dan rekreasi.

“Sebagai organisasi pemuliharaan haiwan terbesar di Indonesia, peluang ini akan menjadi salah satu daripada kumpulan sumbangan dalam menyokong industri pelancongan Indonesia yang semakin pulih selepas dilanda wabak pandemik Covid-19,” jelasnya.

Kumpulan TSI sentiasa membangun dan mewakili taman rekreasi hidupan liar yang terkemuka bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Asia Tenggara.

Taman Safari Indonesia telah membuka kawasan pemuliharaan haiwan pertamanya iaitu Taman Safari Bogor di Cisarua, Bogor, Barat Jawa pada April 1986.

Selepas sedekad, TSI berkembang dengan menubuhkan Taman Safari Indonesia II Jawa Timur di Prigen, Pasuran, Jawa Timur pada Disember 1997.

Kemudian mewujudkan kawasan pemuliharaan yang baharu iaitu Taman Laut Bali Safari, Pantai Safari Jawa Tengah, Akuarium dan Safari Jakarta serta Solo Safari.

Selain itu, TSI juga menyelia beberapa unit perniagaan untuk memenuhi keperluan pelancongan antaranya Royal Safari Garden, Safari Resort, Baobab Safari Resort, Mara River Safari Lodge dan Safari Wonders.

Tambah Noviana visi TSI adalah untuk menjadi kankawasan pemuliharaan haiwan serta pelancongan berasaskan pendidikan dan penyelidikan. – MalaysiaGazette