Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah selesai memberikan keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hannah tiba ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dengan ditemani peguamnya, Sangeet Kaur Deo lebih kurang 5.30 petang tadi.

“Saya hadir ke IPD Sentul bersama peguam selepas membaca berita bahawa polis mahu merakam keterangan saya.

“Jadi, saya tidak mahu membuang masa dan segera tampil ke IPD Sentul (dirakam keterangan) serta berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan kerana saya telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah Gereja: Polis akan panggil Hannah beri keterangan

“Saya percaya keterangan saya konsisten dengan apa yang telah saya jawab di Parlimen pada minggu lalu berkaitan program berkenaan serta saya juga telah menjawab fitnah Chegubard (Badrul Hisham Shaharin),” jelas beliau kepada pemberita di luar IPD Sentul di sini.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim  berkata,  walaupun program itu telah dibatalkan semalam, namun satu laporan polis telah diterima oleh pihaknya berhubung kes tersebut.

Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.-MalaysiaGazette