Hairudin mengiringi Mohd Ali meninjau gerai jualan selepas Majlis Perasmian Program Jualan Pra- Ramadan Melaka Madani 2023 di Bukit Katil Melaka, hari ini.

MELAKA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyediakan 2.4 juta biji telur sebulan untuk dibekalkan ke seluruh Semenanjung bagi keperluan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah FAMA negeri, Hairudin Yunos berkata, setakat ini, pasukan khas dikenali Egg Action Team@Melaka (EAT@MELAKA) sudah bersedia bagi menyelaras agihan bekalan telur ke 14 Pusat Operasi FAMA seluruh Semenanjung yang dijangka meningkat lima hingga 10 peratus.

Menurutnya, selain itu, pihaknya juga bekerjasama dengan peniaga bazar Ramadan dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi memastikan mereka mendapat bekalan telur yang mencukupi sehingga raya ini.

Hairudin Yunos

“Menjelang Ramadan ini, kita jangkakan permintaan bekalan telur meningkat antara lima hingga 10 peratus yang mana setiap minggu kita sasarkan 15,000 hingga 20,000 papan telur (2.4 juta biji sebulan) kepada semua Pusat Operasi FAMA di seluruh Semenanjung.

“Jadi peniaga bazar Ramadan dan usahawan IKS tak perlu risau kerana kita masih menjalankan program intervensi untuk menjamin bekalan telur stabil sehingga selepas Aidilfitri ini.

“Kita juga dapat maklumat peniaga martabak yang dulunya risau bekalan telur tak cukup, hari ini mereka kata tiada masalah bekalan dan harga begitu juga usahawan kuih baulu dan semua usahawan ini kita bekerjsama rapat dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Jualan Pra- Ramadan Melaka Madani 2023 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Bukit Katil hari ini.

Mengulas lanjut, Hairudin berkata, Melaka sebagai pengeluar telur terbesar negara menyumbang lapan juta daripada keseluruhan 18 juta biji telur yang diagihkan kepada peruncit dan Pusat Operasi FAMA di Semenanjung.

“Sejak program intervensi telur bermula Disember tahun lalu sehingga hari ini, FAMA Melaka telah mengagihkan lapan juta telur ke seluruh Semenanjung termasuk menampung keperluan kira-kira 30 usahawan IKS seluruh negeri,” katanya. – MalaysiaGazette.