Pelakon, Hafidz Roshdi, 29 selepas hadir dalam sebutan kes penceraian dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri ketika di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini akan menetapkan tarikh baharu bagi sebutan kes perceraian pelakon, Hafidz Roshdi terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Tarikh itu akan dimaklumkan kepada Hafidz oleh peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader berikutan mahkamah diberitahu ada satu lagi lafaz cerai terdahulu yang tidak difailkan bersekali dengan lafaz kedua.

Menurut Akberdin, ketika sebutan kes hari ini, Nurul Shuhada memaklumkan Hafidz ada melafazkan cerai pada 22 Januari lalu sedangkan perkara itu tidak dimaklumkan kepada mahkamah ketika permohonan bersama pada 22 Februari lalu.

“Oleh kerana itu, mahkamah tidak dapat meneruskan perbicaraan kes bagi permohonan 22 Februari ini kerana secara tiba-tiba pihak Nurul Shuhada memberitahu ada satu lagi lafaz cerai oleh Hafidz pada 22 Januari 2023.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk menentukan lafaz pertama 22 Januari yang dimaksudkan Nurul Shuhada. Sepatutnya, hari ini adalah sebutan pertama bagi permohonan yang difailkan bersama oleh plaintif dan defendan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hafidz tiba di mahkamah itu pukul 10.45 pagi dengan memakai kemeja merah, berseluar hitam dan bersongkok.

Manakala Nurul Suhada yang memakai jubah hitam dan mengenakan topeng pelitup muka tiba lebih awal dari Hafidz.

Isteri pelakon, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29 selepas hadir dalam sebutan kes penceraian dengan suaminya Hafidz Roshdi, 29 ketika di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

Mengulas lanjut, Akberdin berkata, ketika ini tidak timbul soal lafaz bersama kerana pihaknya mendapat pernyataan pembelaan bagi pihak Hafidz berikutan ada tuntutan balas daripada Nurul Shuhada.

“Nurul Shuhada tiba-tiba kata ada lagi satu talak. Sebelum itu Hafidz ada lafazlah. Jadi, itu mahkamah akan tentukan. Kita perlu masukkan pembelaan terhadap tuntutan balas itu dan mahkamah akan tentukan sama ada sah atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Hafidz yang kelihatan tenang berkata, beliau okay dan tidak ada sebarang komunikasi dengan Nurul Suhada ketika bertemu di mahkamah.

“Sebab saya diminta untuk tidak mengacau pihak Nurul Suhada. Jadi, saya pun ambil keputusan tidak berkomunikasi dengan dia.

“Soal anak-anak, saya juga serahkan peguam saya dengan peguam Nurul Suhada. Setakat ini, saya belum bertemu anak lagi dengan anak-anak sejak tiga minggu lalu, tetapi ada berkomunikasi menerusi telefon dan panggilan video,” katanya.

Beliau berharap kes itu dapat diselesaikan dengan cara baik dan tidak berlaku hal yang merumitkan.

Ditanya, adakah beliau akan kembali bersama atau berpisah dengan Nurul Suhada, Hafidz menjelaskan, ia bergantung kepada kepada jodoh.

“Saya ikut jodoh macam mana, saya pun tak tahu,” katanya sambil meletakkan harapan untuk itu adalah 50-50.

Beliau juga menjelaskan, dirinya masih single dan tidak pernah berkahwin dengan mana-mana wanita lain seperti didakwa sesetengah pihak.

“Tak, saya masih single and available. Insya-Allah kalau bercerai pun saya single. Tak kahwin lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hakim arah Hafidz jalani rawatan di Tanjung Rambutan