Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau rapi pengurusan kantin sekolah melalui beberapa inisiatif termasuk pemantauan terhadap harga makanan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya mengambil maklum peningkatan kos bahan mentah serta beberapa aduan berkaitan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Katanya, antara inisiatif berkenaan adalah menyediakan Buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat,  menyediakan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah dan mengeluarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat arahan yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Inisiatif lain adalah menubuhkan jawatankuasa pengurusan kantin di bawah Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Murid di sekolah; dan membentuk struktur pengurusan di peringkat KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“KPM melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Murid di sekolah bertanggungjawab memantau pengoperasian kantin sekolah dalam memastikan makanan yang dijual di kantin sekolah sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi pada harga yang berpatutan.

“Jawatankuasa ini sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengusaha kantin bagi memastikan peraturan yang terkandung dalam buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat dan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah dipatuhi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Hassan Saad (PN-Baling) yang meminta kementerian menyatakan usaha mengatasi peningkatan harga makanan di kantin sekolah akibat harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, berdasarkan buku panduan tersebut, menjadi tanggungjawab pihak pengetua atau guru besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai dalam sebut harga yang dilampirkan dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan.

“Sebarang perubahan harga makanan di kantin sekolah perlu dibincangkan dan mendapatkan persetujuan bersama oleh pihak sekolah dan pengusaha kantin,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai langkah kawalan dan peringatan, KPM juga telah mengarahkan JPN, PPD dan pentadbir sekolah membuat pemantauan kantin dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette