Prosiding hari ini telah dijalankan atas talian dengan peguam, A. Srimugam, Dr. Shamser Singh Thind, Gunamalar Joorindanjn dan Thian Yee Chin mewakili pihak Siew Hong pagi ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 Mei ini untuk keputusan kehakiman seorang ibu tunggal terhadap kesahihan penukaran agama tiga anaknya yang dilakukan secara sebelah pihak atau unilateral di negara ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan menyampaikan keputusan beliau selepas selesai mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Wanita terbabit, Loh Siew Hong sebelum ini telah memohon semakan kehakiman tahun lalu selepas ketiga-tiga anaknya telah didaftarkan sebagai muslim oleh bekas suaminya yang memeluk Islam, M. Nagahswaran tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020.

Siew Hong turut menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Bagi saman yang difailkan melalui permohonan semakan kehakiman, kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu daripada mahkamah sebelum saman boleh didengar.

Antara permohonan yang telah diberikan oleh Siew Hong kepada mahkamah ialah anak-anaknya yang berusia antara 15 hingga 11 tahun itu sebenarnya diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong memohon deklarasi Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Ibu tunggal itu juga memohon deklarasi Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan daripada segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Selain itu, kata Siew Hong ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Untuk makluman, Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019, mereka sah bercerai sekitar 2021.

Nagahswaran juga didakwa telah melarikan ketiga-tiga anak tersebut sebelum menempatkan mereka di sebuah pusat jagaan badan bukan kerajaan (NGO).

Ini telah dilakukan oleh Nagahswaran walaupun Siew Hong sebenarnya sudah mendapat hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Prosiding hari ini telah dijalankan atas talian dengan peguam, A. Srimugam, Shamser Singh Thind, Gunamalar Joorindanjn dan Thian Yee Chin mewakili pihak Siew Hong manakala kesemua responden diwakili dua Peguam Kanan Persekutuan Ainul Wardah Shahidan dan Mohd. Radhi Abas serta peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast