Seorang lelaki muda menghalang, mengugut serta memukul seorang doktor warga emas Hospital Pakar Swasta dalam kejadian di Ampang Point pagi semalam direman di Mahkamah Ampang hari ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

AMPANG – Seorang pemandu direman selepas ditahan kerana disyaki menghalang dan membelasah seorang doktor hospital pakar swasta malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 27 tahun itu direman pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Suspek telah ditahan polis pada malam jam lebih kurang 9.45 malam tadi.

“Majistret membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga 24 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Manakala suspek turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan tengah malam tadi, Mohamad Farouk berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang menaiki kereta jenis Mercedes berwarna putih melanggar bahagian belakang kereta dipandu seorang doktor berusia 67 tahun di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.

“Apabila tiba di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran, kereta mangsa dihalang dari arah hadapan oleh kereta suspek yang kemudian turun dan membuka pintu kereta doktor berkenaan.

“Suspek kemudian menumbuk pipi kanan selain menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit,” katanya.

Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya sehingga tular dalam media sosial, semalam. – MalaysiaGazette