Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasminya ke Arab Saudi bermula hari ini hingga esok.

Lawatan beliau itu atas jemputan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu merupakan yang pertama Anwar ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10.

β€œIa mencerminkan hubungan istimewa dengan Arab Saudi yang wujud selama ini serta memberi peluang kepada dua negara untuk meningkatkan jalinan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang,” kata kenyataan itu, hari ini.

Anwar diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil serta pegawai kanan kerajaan.

Mengikut jadual lawatan itu, Anwar akan mengadap Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri turut mengadakan sesi pertemuan bersama warga perniagaan serta diaspora Malaysia di Arab Saudi.

Arab Saudi merupakan rakan dagang Malaysia terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (AS$4.23 bilion) pada tahun 2021. – MalaysiaGazette