Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng ketika ditemui media sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini. Foto FB Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tuduhan membatalkan pengecualian  cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan AlBukhary.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata laporan tersebut dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin mengulangi fitnah terhadap beliau dalam satu kenyataan media dan sidang media pada 11 dan 12 Mac lepas.

“Saya telah berkali-kali menyatakan bahawa ini (dakwaan) tidak benar dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary.

“Saya telah mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tunjukkan bukti di mana saya batalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary,” katanya ketika ditemui media sebelum membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, Muhyiddin sengaja memainkan perkara ini untuk menyebarkan sentimen yang tidak sihat.

“Beliau tahu kalau perkara ini disebarkan bahawa seorang Menteri Kewangan bukan Islam membatalkan pengecualian cukai terhadap satu Yayasan Islam yang melaksanakan tugas kerja-kerja amal, ini akan memenuhi hasrat meniup sentimen tidak sihat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lepas, mendakwa kerajaan Pakatan Harapan membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang sebelum ini diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa beliau tahu punca Lim yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam mengesahkan Lim ketika menjadi Menteri Kewangan tidak pernah membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti yang didakwa.

Anwar berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Feb 2021.

Beliau berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan terletak di bawah kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Muhyiddin, mohon maaf hari ini atau kena saman – Guan Eng