KUALA LUMPUR- Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menegur Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang lewat hadir ke prosiding pengurusan kes dua pertuduhan yang dihadapinya.
Prosiding sepatutnya bermula jam 9 pagi ini namun Wan Saiful hanya tiba kira-kira jam 9.30 pagi.
Menurut Wan Saiful, beliau keluar rumah seawal 7.15 pagi namun kesesakan lalu lintas menyebabkan perjalanannya ke Mahkamah Jalan Duta mengambil masa hampir dua jam.
Berikutan itu Rozina memberi peringatan kepada tertuduh supaya merancang perjalanan dan berharap perkara sama tidak berulang.
“Saya harap ini adalah pertama dan terakhir, kita sambung prosiding,” katanya.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful minta dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM6.9 juta berkait inisiatif Jana Wibawa.
Beliau juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan bagi projek jalan bernilai RM232 juta yang dikaitkan dengan program sama.
Beliau dijadualkan dibicarakan di hadapan Rozina pada 21 Februari lalu namun hakim tersebut sedang bercuti ketika itu.
Hakim itu kemudian menetapkan jadual bicara bermula tiga bulan selepas tertuduh didakwa dengan prosiding dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan.
Mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes.- MalaysiaGazette