PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegur penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar di Kuala Lumpur dengan penampilan sekumpulan lelaki dengan pakaian tidak senonoh ketika umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun enggan menuding jari kepada mana-mana pihak berkuasa, beliau menasihatkan agar acara itu dibatalkan segera.

“Kita memasuki ambang Ramadan ini, sebaik-baiknya, seelok-eloknya untuk acara seumpama itu tidak diteruskan.

“Aktiviti mungkin boleh mewujudkan keresahan kepada umat Islam yang akan menyambut bulan suci ini,” katanya pada sidang media di Auditorium KDN, di sini, hari ini.

Awal pagi ini, tukar poster penganjuran acara lelaki berotot memakai skrit dan berpakaian dalam wanita ‘Thai Hot Guy’ yang dijadual berlangsung di sebuah kelab di ibu negara pada 30 Mac ini.

Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan penganjur agar lebih sensitif dengan hidup bermasyarakat pelbagai kaum dan harus wujud saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya cenderung untuk menyebut bahawa menjadi kewajipan semua untuk menghayati kemuliaan bulan suci ini.

“Kita perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan elemen saling memahami, hormat menghormati.

“Kita tidak boleh memasuki sempadan yang boleh dianggap boleh mencetuskan sensitiviti dalam perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin akan meneliti perkara itu dari segi prosedur dan pihak berkuasa yang terlibat dalam membenarkan acara itu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Kita akan tengok fakta, siapa yang buat, pihak mana yang beri kelulusan, sama ada pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak, hal-hal itu mesti kita tetapkan dulu

“Tapi hal itu harus kita tengok pihak berkuasa yang bertanggungjawab atau penganjur yang berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette