BUTTERWORTH – Tiada lesen memandu masih menjadi kesalahan paling banyak direkodkan dalam kalangan pemandu di Pulau Pinang.
Ia berdasarkan statistik Ops Rentas Negeri Zon Utara yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dengan kerjasama Kedah serta Perlis di negeri ini bagi tempoh tiga hari sejak Isnin lalu.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, sebanyak 3,668 kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut dan 1,002 kenderaan dikenakan tindakan.
Jelas beliau, daripada jumlah itu sebanyak 651 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu.
“Berdasarkan semakan kita remaja berusia 18 hingga 25 tahun paling ramai tidak memiliki lesen memandu.
“Rata-rata mereka terdiri dalam kalangan lepasan sekolah serta penuntut universiti.
“Malah, mereka turut memberi alasan tidak memiliki lesen kerana tidak mempunyai masa serta kos memiliki lesen mahal,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di sini, hari ini.
Tambah Adenan, dalam operasi sama pihaknya turut menyita 400 motosikal termasuk milik warga asing.
Dalam perkembangan sama, Ops Rentas Negeri ini juga untuk meningkatkan ‘Perception Of Being Caught’ (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya dengan memfokuskan isu berkaitan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar peraturan lalu lintas. – MalaysiaGazette