Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Hasil kajian kumpulan alam sekitar berhubung kawasan seluas 100 kali ganda lebih besar daripada saiz Kuala Lumpur diperuntukkan untuk penebangan hutan akan diperincikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam masa terdekat.

Perkara berkenaan disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Itu nanti menteri akan respon lebih lanjut,” katanya ringkas pada sidang medianya di Dewan Rakyat.

Menurut Fadillah, kerajaan mengulangi komitmen memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan dikekalkan.

“Ini memastikan bahawa tidak akan buat penebangan malahan penanaman semula digiatkan.

“Sebab itu kerajaan menubuhkan ‘Hutan Komoditi’ yang mana pokok-pokok boleh ditanam untuk digunakan,” tambah beliau.

Kumpulan pencinta alam sekitar, RimbaWatch menerusi hasil kajiannya yang bertajuk ‘Keadaan Hutan Hujan Malaysia 2023’ melaporkan kira-kira 2.35 juta hektar lagi hutan dalam negara diperuntukkan untuk pembalakan.

Katanya, kawasan itu lebih luas daripada saiz negeri Perak, Pulau Pinang dan Melaka yang digabungkan.

Malah jika dijadikan sebuah negeri, ia boleh menjadi negeri keempat terbesar di Malaysia selepas Pahang.- MalaysiaGazette