Peguam, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff diiringi pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin bercakap kepada media selepas selesai menfailkan Hadanah iaitu tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah Liyana hari ini memfailkan permohonan tuntutan hak penjagaan penuh ke atas kedua-dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Puteri Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang dalam proses permohonan cerai dengan pengarah filem, Syamsul Yusof memohon hak penjagaan penuh terhadap Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Menurut peguam mewakili pemohon, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff, permohonan itu dilakukan mengikut peruntukan Seksyan 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam seksyen itu, ibu mempunyai hak bagi menjaga anak kecilnya ketika dalam perkahwinan dan selepas perkahwinan dibubarkan.

Jika dibenarkan, Syamsul hanya akan mendapat hak lawatan dan bermalam.

Semalam, Syamsul memfailkan saman dan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah atas empat alasan, termasuk isterinya itu masih berhubung dengan bekas kekasih di zaman kolej dan telah memfitnah Syamsul.

Pada 6 Januari lalu, Puteri Sarah telah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul Yusof, atau nama sebenar, Mohd Shamsul Md Yusofatas alasan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan mereka tidak lagi hidup sebagai suami isteri.

Namun pada prosiding 7 Mac lalu, Syamsul enggan melafazkan talak dan hakim telah membuat ketetapan untuk pasangan itu melantik wakil masing-masing yang akan menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mencari jalan penyelesaian. – MalaysiaGazette