Pelantikan Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam pelbagai bidang.

KUALA LUMPUR-SWIPE melantik Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby sebagai pengerusi baharu sebagai sebahagian strateginya usaha untuk berkembang ke peringkat global termasuk tumpuan kepada Eropah dan Negara Teluk, selain pengukuhan pasaran Malaysia serta Indonesia.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azarul Hakim semasa Persidangan Bantuan dan Pembangunan Kemanusiaan Antarabangsa Dubai (DIHAD 2023) .

Katanya, dalam dunia teknologi kewangan yang berkembang pesat,  SWIPE telah memantapkan potensinya sebagai penyedia penyelesaian pembayaran inovatif yang terkemuka.

Menurut beliau lagi pelantikan Sani yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dibuat berdasarkan sumbangan dan pengalaman beliau dalam pelbagai bidang.

“Sebagai usahawan, dermawan dan aktivis kemanusiaan,  Sani adalah seorang tokoh masyarakat yang dikenali di seluruh dunia. Beliau mempunyai lebih daripada dua dekad pengalaman bekerja di kedua-dua sektor swasta dan awam, serta rangkaian yang merangkumi lebih 40 negara,” jelas Azarul Hakim.

Tambahnya, sebagai Pengerusi SWIPE yang baharu Sani akan membawa legasi masa depan organisasi.

“Kami sangat gembira kerana Sani akan berkhidmat sebagai Pengerusi SWIPE. Kepakarannya yang luas serta rangkaiannya di seluruh dunia akan membantu kami ke arah merealisasikan objektif untuk menjadi pembekal utama penyelesaian fintech bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.

Jelas Azrul Hakim, SWIPE yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai penyelesaian fintech melalui platform e-dagang, gerbang pembayaran dan penyelesaian pembayaran mudah alih  yakin ia akan dapat meluaskan capaiannya dan membangunkan penyelesaian fintech baharu yang dapat memenuhi permintaan penggunanya yang sentiasa berubah-ubah setelah Sani menyertai syarikat itu.-MalaysiaGazette