KUALA LUMPUR – Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat pujian netizen apabila mengambil berat terhadap pemain skuad Harimau Malaya.
Skuad bimbingan Kim Pan Gon ketika ini menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru bagi dua aksi persahabatan berdepan Turkmenistan dan Hong Kong.
Selepas menyediakan fasiliti untuk sesi latihan, Tunku Ismail atau lebih dikenali TMJ menganjur pula majlis makan malam buat keseluruhan skuad kebangsaan yang diadakan malam tadi.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi laman Johor Southern Tigers dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Tunku Ismail menerusi hantaran Facebooknya.
“Menjunjung kasih DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas perkenan baginda menjemput barisan pemain, staf kejurulatihan dan pegawai skuad Harimau Malaya ke majlis santapan malam,” kata FAM.
Tindakan Tunku Ismail itu mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tempatan dan ia dapat disaksikan menerusi laman komen di media sosial FAM. – Malaysiagazette