Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas merasmikan Kempen Jualan Rahmah Hari Raya di 99 Speedmart, PPA1M Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewartakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedang melakukan semakan barangan di peringkat akhir sebelum dimasukkan ke dalam senarai SHMMP untuk tujuan penwartaan.

“(SHMMP) rasanya kita umum dua minggu lah, tiga atau dua minggu sebelum (musim perayaan).

“Kita sudah bersedia, pegawai sedang muktamadkan barang yang akan kita senaraikan (SHMMP),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart Cawangan Bukit Jalil.

Pelaksanaan Inisiatif Payung Rahmah di seluruh 2,300 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara ini meliputi aktiviti Jualan Rahmah yang dijalankan selama sebulan mulai 23 Mac 2023 sehingga 22 April 2023.

Jualan ini melibatkan sebanyak 150 pelbagai produk barang asas menawarkan pada harga yang lebih rendah sehingga 40 peratus berbanding harga jualan murah sedia ada.

Dalam pada itu, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAPS) sentiasa melakukan pemantauan harga barang di pasaran hampir setiap hari.

“Kali ini saya akan turun padang secara rasmi atau tidak rasmi untuk kita melihat perkembangan di atas meja atau di pasaran.

“Jadi tempat-tempat umum khususnya supaya isu rakyat membeli dengan harga yang mahal itu dapat kita atasi,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga melakukan pemantauan bekalan di beberapa lokasi pengeluar makanan tempatan dalam memastikan ia dapat memenuhi permintaan khususnya Ramadan dan Hari Raya Puasa akan datang l.

“Pasukan KPDN memantau bekalan dan melihat sendiri tempat-tempat contohnya sayur di Cameron Highlands.

“MAPS pula akan memastikan bekalan ikan, daging dan seumpamanya cukup menjelang raya ini.

“Kalau cukup maknanya harga mudah untuk kita kawal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast