GURU
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus meneliti inisiatif yang boleh membantu meringankan beban tugas guru di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu dilakukan melalui Jawatankuasa Mengkaji Beban Guru dan perbincangan berterusan dilaksana bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar (MGB).

Katanya, KPM sentiasa memastikan kesejahteraan guru dengan pelaksanaan usaha yang berterusan dalam mengurangkan beban mereka.

“KPM akan terus komited untuk melaksanakan usaha penyelesaian terbaik dalam menjamin kesejahteraan guru.

“Berdasarkan tujuh teras utama yang menjadi tumpuan KPM bagi melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera, KPM akan memastikan guru sentiasa diberi sokongan profesional secara berterusan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah yang mahu KPM menyatakan rangka perancangan bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendidik ini.

Menurut Fadhlina lagi, melalui salah satu daripada tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM, isu kebajikan guru turut diberi fokus.

Ujarnya, bermula sesi persekolahan 2023/2024, KPM telah melaksanakan langkah mengeluarkan pemakluman pemansuhan pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid di sekolah pada 15 Mac lepas.

Katanya, KPM turut mengeluarkan pemakluman pelaksanaan penilaian kendiri sekolah standard kualiti Pendidikan Malaysia 2023 pada 3 Mac.

“Berdasarkan surat pemakluman tersebut, pelaksanaan semakan elemen pengurusan sekolah dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia versi baharu akan dilaksanakan setahun sekali sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, KPM juga mengeluarkan pemakluman Perekodan Waktu Kehadiran Murid dalam Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) berkaitan penetapan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid ke dalam sistem eKehadiran yang lebih fleksibel kepada guru iaitu pada pukul 12 tengahari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang.

“Mengeluarkan pemakluman pelantikan pengawas peperiksaan awam kendalian Lembaga Peperiksaan pada 15 Mac 2023 dan  pemakluman berhubung pelaksanaan Sambutan Hari Guru Tahunan peringkat Kebangsaan dan Sekolah bertarikh 15 Mac 2023,” katanya.

Selain itu, KPM turut mengeluarkan pemakluman terhadap pematuhan surat pekeliling ikhtisas bilangan 3, 1999: penyediaan rekod pengajaran dan pembelajaran.

Beliau menjelaskan, KPM baru sahaja mengeluarkan pemakluman autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan proses pengajaran serta pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah bertarikh pada Isnin lepas.

“Berdasarkan surat pemakluman tersebut, guru diberi hak dan tanggungjawab untuk menentukan pelaksanaan kurikulum yang merangkumi aspek kandungan kurikulum, pedagogi dan pentaksiran dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan,” katanya. – MalaysiaGazette