Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – PH Selangor dan BN Selangor telah bersetuju supaya parti yang  menang dalam pilihan raya lalu akan mempertahankan kerusi asal mereka dalam pilihan raya negeri yang dijangka mengambil tempat pada Jun atau Julai.

China Press melaporkan, kedua-dua pakatan politik mengadakan rundingan pusingan kedua mengenai pengagihan kerusi pilihan raya negeri pada Isnin.

Dalam mesyuarat itu, PH Selangor telah diwakili Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Borhan Aman Shah; Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han; Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim; Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, Azli Yusof serta Abbas Azmi daripada Pemuda Amanah.

Bagi pihak BN pula, mereka diwakili Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Johan Aziz dan beberapa pemimpin lain.

Sze Han memberitahu China Press, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah bersetuju supaya parti yang menang sebelum ini akan mempertahankan kerusi masing-masing.

Beliau berkata, persetujuan itu juga akan menjadi titik permulaan untuk rundingan-rundingan seterusnya.

Katanya, UMNO telah memenangi lima kerusi iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Semenyih dan Sungai Burong.

Jelasnya, keadaan itu bermaksud UMNO akan mempertahankan lima kerusi itu dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sze Han yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, walaupun Semenyih merupakan “kawasan angkat” DAP, tetapi parti itu bersetuju memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding.

“Keputusan akhir adalah bergantung kepada pemimpin tertinggi PH dan juga BN,” katanya. – MalaysiaGazette