Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencari hala tuju baharu untuk meningkatkan usaha tambahan institusi wakaf.

Perdana Menteri percaya usaha GLC itu dapat membantu, malah membangunkan badan wakaf sedia ada agar lebih terjana selaras dengan konsepnya Wakaf Madani.

“Wakaf ini telah menjadi tradisi umat sejak zaman Rasulullah SAW lagi, apabila Baginda mewakafkan kebun kurma di Madinah dan kemudiannya melancarkan Masjid Quba.

“Tradisi mewakaf ini diteruskan sehingga hari ini, yang kita lihat menerusi pembinaan masjid, pusat pengajian dan universiti utama dunia Islam termasuk Univeriti Al-Azhar. Ini semua adalah usaha wakaf.

“Manakala seorang pemikir Islam, melihat wakaf di zaman baharu dan moden pasca merdeka seperti yang berlaku di Indonesia, melahirkan ratusan universiti, Maahad Tahfiz, kolej yang kebanyakannya diusahakan oleh Nahdlatul Ulama dan Muhammadiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelancaran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 – Wakaf Membangun Malaysia Madani menerusi rancangan Assalamualaikum @ TV Alhijrah di sini, pagi ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Ruslan Said yang mewakili Ketua Pengarah, Datuk Hakimah Yusof.

Ucapan Anwar disiarkan secara rakaman berikutan beliau kini berada di Arab Saudi dalam urusan lawatan rasminya selama dua hari.

Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan wakaf, walaupun tidak sebesar Indonesia.

Sebab itu, katanya, Jakim akan merencanakan inisiatif tertentu untuk terus menyemarakan aktiviti wakaf sebagai ikhtiar dan kebijakan dalam menggalakkan umat Islam, individu, persatuan, syarikat dan juga GLC untuk melihat wakaf sebagai suatu tradisi yang mesti dihidupkan.

Bahkan, kata beliau, pihak berkenaan boleh memilih untuk menetapkan kaedah dan juga keutamaan dalam bidang-bidang tertentu.

“Bagi badan-badan wakaf yang sedia ada, akan kita kaji dan teliti supaya dapat dibangunkan seperti yang telah dilaksanakan di beberapa tempat di negara ini.

“Saya percaya dengan ikhtiar tambahan institusi wakaf ini, kita dapat menyemarakkan lagi terutama bulan Ramadan ini akan meningkatkan usaha amal jariah, sedekah dan wakaf, sekali gus menghidupkan serta menghayatkan Ramadan.

“Gesaan saya, kita dapat memantau juga terutama GLC ini untuk mencari hala tuju baharu bagi meningkatkan usaha yang sedemikian,” katanya.

Menurut Anwar, dalam pembentangan Bajet 2023 bulan lalu, beliau mengumumkan pembentukan wakaf madani bermula RM1 bilion.

“Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan wakaf madani dengan dengan aset bernilai lebih RM1 bilion.

“Wakaf Membangun Malaysia Madani ini merangkumi enam aspek iaitu sara hidup, makanan, kesihatan, pendidikan, utiliti, pengangkutan, perumahan dan penglibatan korporat,” katanya. – MalaysiaGazette