Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini telah meminda jumlah ganti rugi buat tiga keluarga remaja mati ditembak polis 13 tahun lepas.

Jumlah itu telah dipinda daripada RM1.5 juta kepada RM630,000 oleh mahkamah yang bersidang tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi bersama Hakim Datuk S Nantha Balan dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pindaan itu dilakukan atas alasan rayuan yang telah dikemukakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai merit.

Untuk makluman, ini merupakan kes saman selepas keluarga mangsa mendakwa kematian tiga remaja meninggal akibat tindakan polis menembak mati dan tanpa justifikasi sekitar tahun 2013.

Ketika itu, saman itu ditelah difailkan oleh keluarga Muhammad Shamil Shapiei, Mohd. Hairul Nizam Tuah dan Muhamad Hanafi Omar pada 12 November 2013 dengan menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor.

Turut di namakan ialah Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia dan beberapa pegawai polis sebagai defendan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian telah menetapkan ganti rugi am sebanyak RM100,000 yang sebelum ini diberikan kepada setiap keluarga dengan memutuskan polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian ketiga-tiga remaja tersebut pada 2016.

Tetapi dalam prosiding atas talian hari ini, mahkamah telah menggantikan jumlah ganti rugi dukacita kepada RM10,000 bagi setiap keluarga.

Mahkamah mengetepikan ganti rugi sebanyak RM100,000 bagi setiap ganti rugi teruk dan tuntutan estet mengikut Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Oleh itu, ketiga-tiga keluarga itu masing-masing menerima ganti rugi sebanyak RM210,000.

Saman berhubung dakwaan serangan, memukul dan kecuaian itu difailkan terhadap polis dan kerajaan oleh keluarga Muhammad Shamil, Mohd Hairul Nizam dan Muhamad Hanafi, yang dilaporkan ditembak oleh polis bertugas di Glenmarie, Shah Alam, kira-kira 4 pagi, 13 November 2010.

Ketika kejadian Muhammad Shamil berumur 15 tahun, Mohd Hairul 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22.

Pada 11 Ogos 2015, Hakim Mahkamah Tinggi, Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada defendan.

Namun pada 1 September 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan tuntutan yang dikemukakan keluarga ketiga-tiga remaja itu dan memutuskan polis bertanggungjawab kematian tiga  remaja tersebut dan memerintahkan kes didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk penilaian di hadapan pendaftar.

Ketika itu Mahkamah Tinggi kemudian telah menetapkan ganti rugi berjumlah RM1,519,299 itu, setiap keluarga akan menerima lebih RM500,000 bagi ganti rugi am, misfeasans awam,ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. -MalaysiaGazette