Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agar proses pengesahan sijil halal dipercepatkan.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MHDC) berkata, tempoh menunggu sehingga sembilan bulan bagi mendapatkan sijil halal terhadap sesuatu produk dan perkhidmatan perlu dipendekkan tanpa berkompromi terhadap kehendak syariah.

Beliau berkata, terdapat lebih 200,000 syarikat halal di negara ini namun terdapat kekangan minda dan sikap untuk mengeluarkan sijil halal dalam tempoh yang sewajarnya.

Isu tempoh menunggu dibangkitkan dalam mesyuarat MHDC yang berlangsung di bangunan Parlimen hari ini. Kali terakhir MHDC bermesyuarat pada 2017.

“Natijah yang saya perolehi tentang kelewatan pengeluaran sijil halal maka kita ambil keputusan satu acuan baharu mesti dilakukan tanpa berkompromi tentang kualiti dan piawaian yang ditentukan dalam pengeluaran sijil halal.

“Oleh kerana terdapat kekangan dari segi waktu didapati tempoh pengeluaran sijil halal, birokrasi ke arah pengeluaran hendaklah dilakukan dengan mempercepatkan proses dengan tidak mahu menyentuh kredibiliti mana-mana pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, terdapat beberapa tindakan intervensi boleh dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri.

Pihak berkenaan katanya, boleh mengurangkan kekangan birokrasi dalam mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Pada majlis sama Ahmad Zahid melancarkan Pelan Induk Industri halal 2030 (HIMP 2030). Turut hadir Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pelan induk itu menyasarkan industri halal memperoleh pendapatan AS$113.2 bilion menjelang 2030 dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 8.1 peratus

Tujuh teras strategik dengan 23 inisiatif dikenalpasti bagi menjayakan HIMP 2030.

Tahun lalu industri halal menyumbang nilai eksport sebanyak RM59.46 bilion iaitu peningkatan 63.8 peratus atau RM23.16 bilion tahun sebelumnya.

Sektor makanan dan minuman penyumbang terbesar ekonomi industri halal dengan nilai eksport RM27.84 bilion tahun lalu.

Ini diikuti bahan-bahan halal (RM23.35 bilion), penjagaan peribadi dan kosmetik (RM3.49 bilion), bahan berkaitan minyak sawait (RM2.79 bilion), industri kimia (RM1.27 bilion) dan farmaseutikal (RM0.72 bilion).-MalaysiaGazette