KUALA LUMPUR – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperuntukkan sejumlah RM100,000.00 kepada Yayasan Waqaf Malaysia bagi tujuan melaksanakan Program Pembudayaan dan Sosialisasi Wakaf sepanjang tempoh Bulan Wakaf Kebangsan Tahun 2023 yang bermula pada 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadan 1444H.

Pelaksanaan program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran berwakaf dalam kalangan masyarakat tentang konsep wakaf dan seterusnya menjadikan wakaf sebagai amalan seharian.

Sekiranya lebih banyak aset wakaf dapat diwujudkan, maka lebih ramai masyarakat akan dapat menerima manfaatnya.

Antara program-program yang akan dilaksanakan adalah program kesedaran berwakaf melalui media, penganjuran taklimat wakaf, webinar dan kaunter wakaf; program menyantuni golongan yang memerlukan seperti kembara sahur, sumbangan Wakaf Prihatin (barangan keperluan asas) dan sumbangan ‘Back To School’; dan program penghargaan pewakaf (pewakaf harta alih dan tak alih) dan penerima manfaat wakaf (peserta Program iTEKAD 2.0 CIMB Islamic Rider Entrepreneur).

Bermula tahun 2016, CIMB Islamic merupakan Rakan Strategik bersama Yayasan Waqaf Malaysia di mana kedua-dua pihak telah bekerjasama dalam pelbagai program, seperti:

1. Kempen Dana P.U.L.I.H (iaitu Peralatan Untuk Kelengkapan dan Pemulihan Hospital) sewaktu pandemik Covid-19, yang mana dana wakaf yang diterima melalui platform CIMB Clicks digunakan bagi tujuan menyediakan peralatan dan kelengkapan hospital seperti set katil ICU, mesin pernafasan, mesin Ultrasound dan ventilator, khususnya kepada hospital-hospital rujukan yang mengendalikan kes Covid-19;

2. Pelaksanaan Program iTEKAD 2.0 CIMB Islamic Rider Entrepreneur yang telah memberi manfaat kepada 44 individu terjejas pendapatan semasa tempoh pandemik. Menerusi program ini, Yayasan Waqaf Malaysia membuat kutipan wakaf bertempoh bagi tujuan pembelian motosikal yang akan digunakan oleh peserta program tersebut sebagai penghantar makanan; dan

3. Pembelian dua ekor kuda bagi tujuan pendidikan kepada anak-anak autisme dan cerebral palsy di bawah Sijil Wakaf Tunai Pendidikan.

CIMB Islamic berkata, kini dengan serendah RM1.00, orang ramai boleh berwakaf pada bila-bila masa, melalui CIMB Clicks.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 menggesa inisiatif menyemarakkan aktiviti wakaf dapat diteruskan terutama dengan menggalakkan penglibatan mana-mana individu, persatuan, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan dalam usaha tersebut. – MalaysiaGazette