MAINPP menetapkan beberapa larangan termasuk tidak membenarkan pihak tiada tauliah berceramah di masjid atau surau di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melarang individu yang memegang jawatan politik termasuk mereka yang menjadi calon pilihan raya dalam tempoh lima tahun untuk memimpin solat, menyampaikan khutbah, ceramah serta merasmikan program anjuran masjid dan surau di negeri ini.

Bagaimanapun, Setiausaha MAINPP, Datuk Samsudin Bakar berkata, larangan itu dikecualikan terhadap ahli MAINPP.

Jelas beliau, arahan ketetapan berkaitan tatacara penggunaan masjid dan surau berkenaan berkuatkuasa serta merta seperti pekeliling yang dikeluarkan semalam yang mana ia selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid 1997.

“Kita juga melarang mana-mana pihak yang tiada tauliah atau tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama itu untuk mengajar, menyampaikan atau menerangkan mengenai agama Islam termasuk berceramah dan membaca khutbah di masjid serta surau di negeri ini.

“Solat fardu lima waktu dan solat sunat berjemaah seperti tarawih hanya dibenarkan untuk diimamkan oleh imam lantikan atau yang dibenarkan oleh pihak berkuasa negeri.

“Malah, setiap khatib yang bertugas hendaklah membaca sepenuhnya teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tanpa ditokok tambah atau dipinda,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Samsudin, khatib jemputan juga  dilarang menyampaikan khutbah melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama di negeri ini.

Kata beliau, setiap kuliah yang disampaikan tidak boleh menyentuh isu-isu politik kepartian dan sensitiviti kaum atau agama serta perlu menjaga adab sopan dari segi bahasa penyampaiannya.

“Selain itu, tidak dibenarkan untuk mengedar, menjual, menggantung, menampal atau memacak sebarang bentuk penerbitan yang mengandungi fahaman, ideologi atau doktrin yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak di bangunan masjid atau surau serta pekarangannya.

“Orang bukan Islam boleh memasuki masjid dan ruang solat dengan keizinan pihak pengurusan masjid dengan syarat menjaga perlakuan serta tingkah laku agar tidak mencemarkan kesucian masjid dan surau,” jelasnya.

Dalam ketetapan sama, MAINPP turut  melarang penganjuran sebarang majlis oleh parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan politik.

Tambah beliau, MAINPP berharap dengan ketetapan ini dapat menjadikan masjid dan surau kekal sebagai zon yang aman, tenteram dan bebas dari sebarang pengaruh unsur politik kepartian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast