Gambar hiasan

HALITOSIS merupakan keadaan mulut yang berbau busuk dan boleh dikategorikan sama ada subjektif dan objektif halitosis. Subjektif halitosis adalah mulut berbau yang hanya dapat dikesan oleh individu tersebut manakala sekiranya bau busuk dapat dikesan oleh orang lain, ia dikategorikan sebagai objektif halitosis.

Kajian menunjukkan mulut berbau dapat memberi kesan negatif terhadap interaksi sosial di dalam masyarakat, menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti kerja, sekaligus menyebabkan impak negatif kepada psikososial kepada individu yang mempunyai mulut yang berbau. Ramai individu yang menyedari mereka mempunyai masalah ini dan mendapatkan rawatan, namun masih ada sesetengah individu yang tidak menyedari masalah ini sehingga dimaklumkan kepada mereka.

Subjektif halitosis sering berkait rapat dengan masalah psikologi manakala objektif halitosis boleh disebabkan oleh faktor-faktor dalaman atau luaran. Penyebab utama kepada masalah ini adalah kuman atau sebatian sulfur (votile sulphur compounds-VSCs) yang dihasilkan oleh kuman daripada sisa makanan yang berada di dalam mulut seperti hidrogen sulfida dan metil mercaptan. Bau yang terhasil ini dicirikan seperti bau telur yang busuk.

Faktor-faktor dalaman yang boleh menyebabkan mulut berbau adalah berkaitan dengan penyakit oral seperti mulut kering dan jangkitan di dalam mulut dan gigi. Kajian
menunjukkan bahawa 90% mulut berbau adalah disebabkan oleh masalah di dalam rongga mulut. Ini adalah kerana suhu dan struktur di dalam rongga mulut merupakan tempat yang kondusif untuk pembiakan kuman. Lidah yang bersalut dengan kekotoran merupakan penyebab utama kepada mulut berbau kerana permukaan lidah yang kasar menjadi kawasan ini sesuai untuk kuman berkumpul dan membiak, terutamanya kawasan yang hampir dengan saluran menelan. Tambahan pula, lokasi ini sukar diakses oleh prosedur kebersihan mulut
yang rutin.

Selain itu, masalah keradangan gusi terutamanya penyakit periodontal meyumbang kepada salah satu punca mulut berbau. Keradangan gusi dan ruang yang terbentuk di antara permukaan gigi dan gusi menjadi tempat pengumpulan kuman. Bukan itu sahaja, kerosakan gigi boleh menyebabkan mulut berbau kerana gigi yang rosak mudah mengumpul sisa makanan dan plak gigi. Faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah mulut berbau termasuklah pulpa gigi yang terdedah, gigi yang telah mati dan bernanah, luka yang sedang sembuh dan pemakaian pendakap gigi. Semua keadaan ini memudahkan makanan atau plak tersangkut menyebabkan sebatian sulfur dihasilkan oleh kuman.

Tambahan lagi, jangkitan akut akibat pertumbuhan gigi bongsu dan ulser mulut juga boleh menjadi punca kepada mulut berbau. Ada juga keadaan mulut berbau hanyalah untuk sementara waktu seperti apabila seseorang mengambil makanan yang berbau berlebihan seperti bawang putih, petai dan durian. Sebaliknya, makanan berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayuran dilaporkan dapat mengurangkan bau mulut.

Sementara itu, antara faktor-faktor luaran yang boleh menyebabkan mulut berbau adalah seperti penyakit hati yang menghasilkan sebatian sulfur seperti dimetil-sulfida. Kajian
menunjukkan bahawa penyakit hati seperti kegagalan fungsi hati dan keradangan hati adalah salah satu sumber penyebab kepada mulut berbau dan bertambah buruk apabila digabungkan dengan faktor lain seperti penyakit periodontal, mulut kering dan merokok.

Faktor luaran lain yang boleh menjadi punca kepada mulut berbau adalah rembesan daripada sinus atau hidung akibat dari jangkitan pada saluran pernafasan. Penyakit kencing manis juga di laporkan boleh menyebabkan mulut berbau kerana ianya dikaitkan dengan penyakit keradangan gusi.

Secara am, risiko-risiko kepada masalah ini antaranya adalah mulut kering, merokok, diet, dan pengambilan alkohol. Mulut kering boleh disebabkan oleh pengeluaran air liur yang kurang, membuatkan sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut selepas makan tidak dapat dibersihkan secara neutral dan optimum. Akhirnya, terdapat peningkatkan pengumpulan makanan dan proses penggunaan sisa makanan oleh kuman yang terdapat di dalam mulut.

Oleh itu mulut akan lebih mudah berbau terutama di waktu pagi atau ketika berpuasa kerana keadaan mulut yang kering. Tambahan pula sekiranya mulut tidak dibersihkan dengan baik. Pada masa yang sama, sejenis rembesan yang dikenali sebagai keton iaitu bahan buangan dari penghasilan sumber tenaga yang terhasil oleh hati akibat ketiadaan glukos di dalam badan boleh menyebabkan mulut bau. Keadaan ini boleh berlaku bilamana seseorang berpuasa atau tidak makan untuk satu jangka masa yang lama.

Merokok boleh menyebabkan mulut kering dan tembakau yang mengandungi sulfur boleh menyebabkan mulut berbau. Tambahan lagi, perokok mempunyai risiko yang tinggi untuk
mendapat masalah radang gusi yang boleh memburukkan lagi masalah ini. Selain itu, pengambilan alkohol yang kronik dan berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan mulut
kering, malah menyebabkan bau mulut yang unik dan kurang disenangi oleh mereka yang berada disekelilinya.

Masalah ini perlu diberi perhatian dan sila dapatkan rawatan dari doktor-doktor pergigian bagi mengelakkan kesan-kesan yang negatif. Pemeriksaan yang teliti akan dibuat bagi
mengenal pasti punca mulut berbau agar rawatan sewajarnya dapat diberikan. Sekiranya mulut berbau berpunca daripada faktor dalaman, rawatan seperti cucian, tampalan, rawatan jangkitan atau nanah pada gigi dan penjagaan kebersihan mulut dapat diberikan. Nasihat berkaitan jenis pemakanan, tabiat merokok, membersih lidah menggunakan pembersih lidah serta penggunaan ubat kumur untuk mulut berbau dan ubat gigi soda bikarbonat boleh membantu dalam menyelesaikan masalah mulut berbau.

Manakala, sekiranya mulut berbau yang disebabkan oleh faktor luaran, iaitu bukan berpunca dari masalah di dalam rongga mulut setelah pemeriksaan mulut dilakukan, pesakit akan dirujuk kepada doktor perubatan untuk rawatan lanjut. Secara amnya, walaupun terdapat pelbagai jenis ubat gigi atau ubat kumur yang boleh didapati di pasaran, dapatkanlah nasihat dan pandangan professional dari doktor bertauliah dahulu bagi mengenalpasti punca mulut berbau yang sebenar bagi mengelakkan
komplikasi yang tidak diingini.

Oleh: Dr Normaliza Ab Malik
Pensyarah Pergigian dan Pakar Klinikal Pergigian
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia

Dr Faezah Rokhani
Pensyarah Pergigian dan Pakar Klinikal Pergigian
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia