MHO bersama penduduk Kampung Koskan Tambahan menyerahkan surat tuntutan penjelasan pemilikan tanah mereka di Pejabat Tanah Hulu Selangor.

HULU SELANGOR – Penduduk Kampung Koskan Tambahan di sini  kecewa apabila permohonan untuk memiliki kawasan tanah yang sudah 40 tahun didiami mereka ditolak agensi kerajaan negeri Selangor.

Ini kerana sudah dua kali Pejabat Tanah Hulu Selangor telah menolak permohonan penduduk agar tanah itu dilupuskan secara pemberimilikan dengan memberikan alasan ia kawasan simpanan Sungai Serendah dan berisiko banjir.

Namun lebih menghairankan, kali ini pejabat tanah memberikan alasan lain pula iaitu tanah itu berada dalam hak milik sebuah syarikat.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan apakah sebenarnya status tanah kerajaan itu kepada penduduk, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Menurutnya, permohonan pertama telah dilakukan penduduk seawal tahun 2006.

“Ketika itu MHO telah difahamkan pejabat tanah telah menolak sekitar April 2009 dengan alasan tanah yang dipohon itu merupakan kawasan yang terlibat dengan Simpanan Sungai Serendah dan berisiko dengan banjir.

“Penduduk sekali lagi memohon pada tahun 2008 tetapi ianya ditolak lagi pada tahun 2012 namun alasan yang diberikan kali ini, kawasan dipohon itu berada dalam hak milik sebuah syarikat. Bagaimana ini berlaku?

“Kini isu dan persoalan yang timbul pada ketika ini adalah mengapakan permohonan penduduk ditolak atas alasan kawasan itu berisiko banjir tetapi pada masa sama, kawasan itu telah dipindah milik ke atas sebuah syarikat lain.

“Jika tidak boleh pindah milik kerana risiko banjir, mengapakah pada 2012 tanah itu telah dilulus pindah milik kepada sebuah syarikat?,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hishamuddin Hashim

Hishamuddin memaklumkan pihaknya bersama-sama penduduk setempat telah menghantar sepucuk surat tuntutan penjelasan kepada Pejabat Daerah Tanah Hulu Selangor bagi penjelasan lanjut berhubung status sebenarnya pemilikan tanah itu.

“Kita menuntut penjelasan lengkap mengenai penolakan permohonan pelupusan sebidang tanah secara pemberimilikan yang dikemukakan penduduk Kampung Koskan Tambahan. Bagaimana permohonan penduduk telah ditolak dua kali tetapi kemudian tanah ditukar milik?” soalnya.

Semalam, penduduk terbabit secara aman hadir di pekarangan Pejabat Tanah Hulu Selangor bagi menyerahkan surat tuntutan penjelasan kepada pihak berwajib.

Kebanyakan penduduk setempat ini sudah menduduki kawasan itu lebih empat dekad kini khuatir akan diusir pada bila-bila masa selepas pemilikan tanah itu diberikan kepada sebuah syarikat. -MalaysiaGazette

4 Komen

  1. kompom dah yg rakyat Malaysia merempat di tanah air sendiri. Kerajaan dan pemimpin melayu berdegar degar cakap kononnya berjuang untuk rakyat. Rupa rupanya kosong. Ingatlah kamu berkuasa bukan untuk selamanya. mati itu pasti, azab kubur pasti, Jgn ingat makan DAGING BABI saja HARAM. Taubat lah sementara ada masa.

  2. A’duzu billahi minasy syaiton nirrojim. Biismillah,
    Qul Haq. Assallamualaikum wrh.wbrh. Pada hemah saya keperluan Asas Rakyat yg Berbilang Kaum, Bahasa, Budaya, Agama wajar Diberi Keutamaan, terutama yg melibatkan isu2 seperti Penempatan, Perumahan, Pendidikan, Kesihatan dan juga Peluang Pekerjaan.
    Kementerian2 yg Relevan yg bertanggungjawab ke atas perkara2 yg dimaksudkan seperti tadi sangat wajar campurtangan untuk menangani masalah2 berkaitan dengan serius, menyeluruh dan pada kadar segera mungkin, sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan Tidak Mampu Menyelesaikan Kemusykilan yang diUtarakan kerana Birokrasi.
    Dalam waktu yg sama amat diharapkan agar isu2 sepertimana yg dimaksudkan tadi Tidak DiEksploitasi, dan DiManipulasi oleh Puak2 Politikus semata2 atas Kepetingan Survival Politik apa tah lagi DiPutarbelitkan sehingga menjadi Isu Perkauman yg semakin makin menjadi disebabkan Puak2 Politikus yg Tidak Bertanggungjawab sejak semenjak ini. Lebih lebih lagi oleh Individu2 Yg Pernah Gagal Membela Nasib Kaum Tertentu sebelum ini walaupun telah dberi ruang dan peluang utk berbuat demikian selama hampir 23 tahun, namun bukan sahaja tidak berani tampil ke depan utk Mengakui Kesilapan diri nya tapi sebalik nya berusaha tanpa segan silu utk cuba menyalahkan Pihak Lain….Maaf sangat2 jika ada sebarang Kekhilafan.

Comments are closed.