KUALA LUMPUR – Spekulasi bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin kononnya akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor atas tiket Perikatan Nasional (PN) terus menjadi tanda tanya.
Ketua Pengarah PRN Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri masih lagi menganggap berita bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebagai spekulasi semata-mata.
Namun Menteri Besar Kedah itu mengalu-alukan kehadiran bekas Menteri Kesihatan untuk bersama dengan PN pada PRN yang dijangka berlangsung pada akhir Julai atau awal Ogos depan.
“(Khairy) spekulasi lagi, saya pun masih peringkat itu juga dan Insya-Allah kalau dia masuk satu kelebihan untuk kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria Bersama Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ampang hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, barisan tertinggi parti selain menteri besar dalam kalangan ahli Pas.
Sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi Khairy akan bertanding dalam PRN Selangor dengan memilih PN.
Menurut bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang dipecat daripada parti itu, beberapa tawaran telah dibuat kepadanya termasuk jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya menang dalam PRN kelak. – MalaysiaGazette