Sabella Holdings tampil dengan jualan Rahmah baju raya semurah RM8.

KUALA LUMPUR – Semakin ramai tampil dengan Inisiatif Payung Rahmah dalam industri tekstil dengan memberikan harga mampu beli bagi golongan berpendapatan rendah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Terbaharu, jenama sinonim dengan tagline ‘Baju Tanpa Gosok’, gedung tekstil Sabella Holdings tampil dengan produk pakaian raya yang bermula dengan harga serendah RM8, selain potongan harga sehingga 71 peratus sebagai tanda sokongan kepada inisiatif Payung Rahmah.

Malah usaha itu turut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memuji usaha syarikat anak tempatan itu bagi memastikan golongan tidak berkemampuan juga dapat menikmati jualan murah baju-baju raya.

“Jualan Rahmah ini sememangnya terbuka untuk semua tapi pastinya ramai yang tidak berkemampuan akan berasa gembira dengan penjualan murah seperti ini yang dilaksanakan oleh Sabella. Saya sendiri tengok kualiti pakaian mereka dengan harga sangatlah berpatutan.

“Diskaun baju raya juga sehingga 71 peratus sememangnya sangat dialu-alukan. KPDN lihat tambahan diskaun yang ditawarkan oleh Sabella berbaloi dan mampu milik oleh semua seiring dengan produk dan kualiti mereka.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk mendaya upayakan rakyat dalam menjana pendapatan bagi mengurangkan kos sara hidup yang makin meningkat, saya difahamkan Sabella juga turut memperkasa 250,000 orang ‘dropship’ yang majoritinya adalah suri rumah golongan B40 seluruh Malaysia, syabas,” katanya pada sidang media selepas sesi ‘walkabout’ di gedung Sabella Holdings Sdn Bhd di Batu Caves ini.

Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Sabella telah menyediakan 700,000 pasang pakaian raya dengan harga bermula RM8 dan ianya boleh didapati di enam lokasi terpilih iaitu di Sabella HQ di Batu Caves, Dewan Kg Melayu Majidee, Johor, Dewan Teratai Shah Alam, Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Alor Setar, Madinah Tunjong Kota Bharu dan Dewan TER di Kuala Terengganu.

Jualan Rahmah ini juga bermula hari ini (25 Mac) sehingga 20 April 2023 di kesemua enam lokasi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast