Polis mempergiatkan siasatan penemuan bangkai haiwan di kondominium dan mengesan suspek (sewa rumah) membantu siasatan lanjut.Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu yang disyaki bertanggungjawab berhubung penemuan puluhan bangkai dipercayai kucing di sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, di sini pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis telah memulakan siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Kita (polis) sudah membuka kertas siasatan sejurus penemuan bangkai kucing itu dilaporkan.

“Identiti suspek dalam kes ini masih dalam siasatan dan sedang giat dikesan untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mengejut puluhan rangka dan bangkai haiwan peliharaan di dalam sebuah unit kediaman kondominium yang terletak di Bandar Permaisuri, Cheras di sini.

Penemuan itu susulan aduan penduduk sebuah berhubung bau busuk kuat yang datang di kediaman tersebut untuk beberapa hari pada minggu lalu.

Bertindak atas maklumat itu, pemilik asal unit kediaman itu telah melakukan pemeriksaan di rumahnya yang disewa oleh seorang lelaki tempatan berusia 30-an pada 11 Mac lalu.

Dia terkejut besar apabila menjumpai berpuluh-puluh rangka haiwan yang disyaki kucing di dalam rumah itu.

Rentetan penemuan mengejutkan itu, Persatuan Haiwan Malaysia menggesa pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melakukan siasatan segera selepas mendakwa tiada maklum balas positif setakat ini selepas laporan polis dibuat 13 Mac lalu berhubung insiden itu.- MalaysiaGazette

Jabatan Veterinar didesak siasatan penemuan puluhan bangkai, rangka kucing