Lelaki warga emas cuba segera memasukkan anjing liar ke dalam premisnya sambil menghalang penguatkuasa MBPJ daripada menangkap haiwan liar itu menggunakan rod besi dalam insiden tular pada minggu lalu di Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Polis telah membuka kertas siasatan dakwaan pergelutan antara anggota penguat kuasa dengan warga emas lelaki ketika operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPBJ) di Taman Kanagapuram, di sini.

Video tular berdurasi satu minit tiga saat itu memaparkan warga emas itu cuba memasukkan tiga ekor haiwan ke dalam premisnya dan cuba menutup pintu untuk menghalang penguat kuasa yang sedang berusaha menangkap anjing liar menggunakan rod besi.

Kejadian lelaki itu yang didakwa diserang dengan rod besi yang digunkan menangkap anjing itu telah tular di media sosial, semalam dan menerima kecaman netizen.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis telah menerima laporan daripada anggota penguat kuasa yang terbabit dalam operasi itu.

Lelaki warga emas itu cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan tiga ekor haiwan tersebut  ke dalam premisnya.

“Pengadu dan pasukan cuba menghalang lelaki itu daripada menutup pintu premis supaya operasi menangkap anjing liar itu boleh dilaksanakan, tetapi pasukan operasi gagal melaksanakan tugas kerana dihalang oleh warga emas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, operasi tangkapan anjing liar itu diadakan pada jam 9 malam 22 Mac  lalu selepas menerima aduan daripada orang awam di kawasan tersebut.

Jelasnya, lelaki itu enggan memberi kerjasama kepada anggota MBPJ, menyebabkan berlakunya pergelutan antara pasukan penguat kuasa sehingga individu itu terkena batang rod.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan juga Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam daripada melakukan tugas-tugasnya,” tegas beliau.

Rentetan penularan video tersebut,  Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menuntut penjelasan MBSJ berhubung tindakan pegawainya yang dikatakan memukul seorang warga emas dalam insiden tersebut.

Perbuatan pegawai penguatkuasa berkenaan telah dirakam ketika sedang cuba menangkap beberapa ekor anjing liar menggunakan rod besi penangkap anjing.

Katanya, surat rasmi itu ditujukan kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka,  selain meminta penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.

Sementara itu, MBPJ dalam kenyataan balas kepada dakwaan itu berkata, siasatan secara terperinci akan dijalankan dalam insiden itu.

Malahan MBPJ juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman untuk menjalankan siasatan terperinci dalam kes berkenaan. – MalaysiaGAazette