Thomas Tuchel

LONDON – Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich secara rasminya mengumumkan pelantikan Thomas Tuchel sebagai pengurus baharu di Bundesliga bagi menggantikan Julian Nagelsmann.  

Laman web kelab itu memaklumkan, Tuchel akan memulakan tugas rasminya pada Isnin ini selepas dia bersetuju untuk memeterai kontrak selama dua tahun.

Sebelum ini, pemecatan Nagelsmann boleh dianggap sebagai satu keputusan yang mengejutkan oleh pengurusan tertinggi pasukan kerana kehadiran pengendali berusia 35 tahun itu pada musim 2021/22 sebagai perancangan jangka masa panjang kelab.

Prestasi pasukan ini menunjukkan penurunan dengan tujuh keputusan seri dan tiga kekalahan dialami setakat ini sehingga menyaksikan Bayern berada di tangga kedua Bundesliga iaitu ketinggalan satu mata di belakang musuh tradisi, Borussia Dortmund.

Keadaan ini mungkin memberikan alasan kukuh buat Oliver Kahn selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Sukan, Hassan Salihamidzic untuk mengambil keputusan drastik ini.

Dilaporkan pembantu Nagelsmann dalam pasukan iaitu Dino Topmoller, Benjamin Gluck dan Xaver Zembrod turut dilepaskan.

“FC Bayern Munich telah melepaskan ketua jurulatih, Julian Nagelsmann.

“Keputusan ini telah diambil oleh CEO, Oliver Kahn dan Pengarah Sukan, Hassan Salihamidzic dengan rundingan bersama Presiden kelab, Herbert Hainer.”

“Nagelsmann akan digantikan dengan Thomas Tuchel. Tuchel menerima kontrak sehingga 30 Jun 2025 dan akan mula menyertai latihan buat pertama kali pada Isnin nanti,” ” kata kenyataan di laman sesawang rasmi kelab Bavaria itu, sebelum ini.

Tuchel yang juga merupakan anak kelahiran Jerman hadir dengan reputasi hebat dalam membimbing kelab ternama dunia seperti Chelsea, Paris Saint-Germain (PSG) dan Borussia Dortmund.

Bersama Chelsea, dia telah membimbing kelab tersebut menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21, yang mana kejayaan itu hadir hanya beberapa bulan selepas beliau tiba di kelab London tersebut. – MalaysiaGazette