Gambar Hiasan

SHAH ALAM – Bekalan air di 55 kawasan di daerah Klang dan Shah Alam yang terlibat dengan proses pemulihan berikutan kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang selesai sepenuhnya pukul 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) merakamkan penghargaan kepada pengguna di kawasan terjejas kerana memberikan kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan tersebut.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam berlaku akibat paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang, Jumaat lalu. – MalaysiaGazette