Ahmad Zahid (kanan) bersama Kon Yeow beramah mesra dengan pelajar tahfiz yang menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Pulau Pinang di Tasek Gelugor hari ini.

TASEK GELUGOR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kebolehmenangan menjadi faktor utama dalam perbincangan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.


TASEK GELUGOR –  Kebolehmenangan menjadi faktor utama dalam perbincangan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan hanya akan menyentuh daripada segi dasar manakala perbincangan lanjut akan diserahkan kepada peringkat negeri.

“Masih terlalu awal untuk saya beri bayangan pembahagian kerusi membabitkan parti mana tetapi yang penting dalam rundingan ini adalah berasaskan kebolehmenangan.

Ahmad Zahid (kanan).

“Bukan bertanding dengan berhasrat untuk mendapatkan jumlah tertentu tapi yang penting adalah mendapatkan kemenangan,” katanya kepada media di Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Pulau Pinang di Masjid Jamek Al-Islah Pokok Tampang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Timbalannya, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin.

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) menyampaikan geran kepada peserta program peningkatan pendapatan.

Mengulas lanjut beliau yang juga Pengerusi UMNO berkata, penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dijangka mampu meningkatkan keserasian kepimpinan parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

Kata beliau, konvensyen yang diadakan kali pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan itu akan memberi peluang kepada kepimpinan parti gabungan dari pelbagai peringkat untuk bersama.

“Konvensyen ini akan turut melibatkan kepimpinan pelbagai parti dari peringkat cawangan, Dewan Undangan Negeri, Bahagian, Negeri dan Nasional.

“Ini adalah bagi mewujudkan keserasian di semua peringkat sekali gus wujudkan persefahaman baik antara pemimpin seterusnya diikuti dengan peringkat akar umbi,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette