Roslan Shahir Mohd Shahir
Roslan Shahir Mohd Shahir

SHAH ALAM – Pas Selangor mengecam laporan sebuah portal berita yang mendakwa parti itu melarang sebarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Setiausaha Perhubungannya, Roslan Shahir Mohd Shahir menegaskan, laporan bertajuk, “Quit politicising religion – politicians told” yang disiarkan portal Malaysiakini menggambarkan seolah Pas bermain isu perbezaan agama.

“Dakwaan itu kononnya Pas memperolehi sokongan politik dan mengaitkan ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor di Parlimen baru-baru ini.

“Laporan itu mendakwa gesaan Dr. Ahmad Yunus agar kerajaan tidak membina rumah ibadat bukan Islam berhampiran masjid sebagai bukti Pas memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

“Kita menganggap laporan ini cukup jahat, malah sesungguhnya cuba mempolitikkan kenyataan jujur seorang wakil rakyat yang dalam perbahasannya yang mahu melihat keharmonian kaum dikekalkan dan sebarang konflik serta ketegangan sesama rakyat berbilang agama dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Roslan Shahir berkata, Ahmad merujuk kepada cadangan pembinaan baharu, melibatkan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pihak perancang bandar di pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perancangan Negeri dan di Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan dengan gesaan agar sensitiviti masyarakat setempat sentiasa diambil kira.

Katanya, dalam ucapan pada 16 Mac lalu di Parlimen, beliau membawa contoh sebuah tapak di sempadan kawasannya iaitu di Canary Garden, Bandar Bestari Klang, di bawah Majlis Perbandaran Klang (MPK), di mana sebuah rumah ibadat bukan Islam sedang dibina tanpa kelulusan di tapak yang dikelilingi kampung Melayu Islam di Sijangkang, Kuala Langat.

“Penduduk di perkampungan ini telah membuat bantahan kepada PBT dan beliau sendiri selaku wakil rakyat, kerana itu isu ini dibangkitkan di Parlimen untuk penyelesaian.

“Untuk pengetahuan Malaysiakini dan pihak yang tidak bertanggungjawab menyerang Pas dalam isu ini, Manual Garispanduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor menetapkan sebarang tapak rumah ibadat perlu diwartakan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

“Selain itu, perlu memperolehi Kebenaran Merancang dari PBT berkaitan, tetapi dalam kes ini tiada pewartawaan mahupun kelulusan diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, manual yang sama juga menyebut, pembinaan rumah ibadat bukan Islam di Selangor hendaklah di kawasan taburan penduduk 5,000 orang untuk satu tapak atau 2,600 penganut bagi satu tapak.

Namun, kawasan yang dibangkitkan Dr. Ahmad Yunus, tidak ada penduduk bukan Islam pun berhampiran kawasan berkenaan.

Katanya, memutarbelitkan kenyataan seorang wakil rakyat di Parlimen dengan niat jahat cukup dikesali.

“Pas tidak pernah ada masalah dengan rumah ibadat pelbagai agama termasuk di Selangor yang ada sedia terbina sekian lama dan dapat diterima masyarakat setempat sejak awal lagi.

“Isu ini berbeza, kerana ia melibatkan rumah ibadat bukan Islam yang baharu dan yang tidak mendapat kelulusan. Ia pula dibina di kawasan perkampungan Melayu Islam yang mendapat bantahan masyarakat setempat.

“Secara amnya mana-mana masyarakat tidak akan menyokong pembinaan rumah ibadat mana-mana agama sekalipun yang tidak memperolehi kebenaran pihak berkuasa tempatan dan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette