Rumah milik seorang individu yang membakar puluhan kucing di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu membuat ujian penilaian mental terhadap mana-mana individu yang bertindak kejam terhadap haiwan.

Ia termasuk individu yang membakar puluhan haiwan dipercayai kucing di sebuah unit yang disewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.

Akvitis pencinta haiwan, Zulkarnain Abd Aziz berkata, ini kerana manusia yang berfikiran waras tidak akan bertindak sekejam itu.

“Orang ada akal tidak buat perkara begitu. Orang yang seksa binatang ni tidak ubah seperti binatang juga.

“Kalau individu berkenaan sudah ditangkap, perlu periksa kesihatan mentalnya. Orang yang tidak waras sahaja akan bakar kucing,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, polis menahan lelaki dipercayai penyewa rumah di sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, di sini bagi membantu siasatan penemuan puluhan bangkai dipercayai kucing pada 11 Mac lalu.

Perbuatan berkenaan terbongkar selepas jiran-jiran di kondominium berkenaan membuat aduan berhubung bau busuk dari rumah tersebut.

Dalam masa sama polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan.

Mengulas lanjut Zulkarnain berharap, polis akan menemui individu yang disyaki dan mengambil tindakan undang-undang yang boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

“Orang begini mesti dikenakan undang-undang supaya sedar. Mesti ada hukuman buat orang yang menyeksa haiwan,” ujarnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette ketika membuat tinjauan di kawasan perumahan berkenaan difahamkan bahawa individu yang menyewa kediaman itu telah diminta keluar daripada kediaman tersebut oleh pemiliknya selepas kejadian. – MalaysiaGazette