Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kecewa dengan Lembaga Pengarah Axiata Group Bhd. (Axiata) yang melantik dua warganegara asing memegang jawatan penting dalam kumpulan syarikat itu.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, pelantikan warganegara India, Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) dan warganegara Sri Lanka, Dr. Hans Wijayasuriya selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan (GED), seolah Malaysia ketandusan anak tempatan yang berpengalaman dan layak.

Tegas beliau, Perkasa difahamkan ada tiga atau empat calon Melayu telah ditemu duga, tetapi warganegara India dan Sri Lanka itu juga dipilih syarikat berkenaan.

“Kita semua tahu, anak bangsa kita tidak kurang hebatnya dalam bidang telekomunikasi. Dari Jabatan Telekom Malaysia (JTM) ke syarikat Telekom Malaysia (TM) sekarang.

“Anak bangsa kitalah yang bangunkannya sampai menjadi syarikat telekomunikasi paling gah bukan sahaja di negara ini, bahkan di peringkat Asia,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Axiata Group Bhd. pada Jumaat mengumumkan pelantikan Vivek Sood sebagai GCEO dan Dr. Wijayasuriya sebagai GED.

Syed Hassan menjelaskan, pemegang saham terbesar Axiata yang merupakan syarikat telekomunikasi terbesar Asia Tenggara ialah Khazanah Nasional.

Katanya, CEO Khazanah Nasional adalah Pengerusi Axiata Group Bhd. juga iaitu seorang Melayu.

“Jangan kata Melayu tidak layak untuk jawatan itu. Eloklah Pengerusi Axiata Group Bhd. dan CEO Khazanah Nasional pun ditukar kepada bukan Melayu sebab Melayu tidak layak untuk jawatan tersebut. Bagi sahaja kepada warganegera asing untuk mentadbirnya,” katanya.

Beliau juga persoalkan, apakah kakitangan Axiata yang ramai daripadanya warganegara India dan Sri Lanka menerika gaji lebih besar dari kakitangan tempatan, termasuk mendapat pelbagai kemudahan seperti elaun rumah dari RM4,000 hingga RM5,000 sebulan serta elaun lain?

Sedangkan, kakitangan warganegara tempatan hanya bergantung kepada gaji bersih untuk membayar sewa rumah dan kenderaan.

“Kakitangan bukan warganegara asing bukanlah terlalu hebat jika dibandingkan dengan kakitangan anak bangsa sendiri, malah anak tempatan ada yang jauh lebih bagus menjalankan tugas.

“Kenapa tidak utamakan anak bangsa terlebih dahulu daripada diberikan kepada warga asing?

“Perkasa juga inginkan kepastian, benarkah kakitangan Axiata bukan Melayu lebih diutamakan untuk menjawat jawatan lebih tinggi? Benarkah kakitangan Melayu di Axiata dianaktirikan?,” soal beliau.

Syed Hassan berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membiarkan tindakan menganaktirikan kakitangan Melayu semakin menjadi-jadi dalam GLC sekarang ini.

Ujarnya, apa guna ada Perdana Menteri Melayu jika membiarkan anak bangsa sendiri didiskriminasi secara terang-terangan.

“Apa yang dipertikaikan ini telah berlaku bermula zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang juga diterajui Perdana Menteri Melayu.

“Jika ini terus berlaku, memang benarlah pemimpin Melayu sendiri tidak membantu bangsanya hanya untuk menunjukkan keadilan kepada kaum lain.

“Perkasa sangat kecewa dalam hal ini kerana pemimpin Melayu tidak mahu membela bangsanya lagi. Mereka lebih pentingkan ahli keluarga dan kroni sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette