Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seramai 11 individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di kawasan perumahan di Taman Cendana, Pasir Gudang, di sini, pada 19 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, penahanan terhadap individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 53 tahun itu, susulan satu video yang memaparkan pergaduhan berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan yang berlaku pada jam 11.05 malam itu berpunca daripada beberapa individu yang ditangkap membuat bising selepas mengambil minuman keras.

“Kesemua individu itu ditahan pada hari kejadian dan kita dapati enam individu yang diberkas mempunyai 13 rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan dadah.

“Selain itu, seorang daripada 11 individu yang ditahan itu juga mempunyai dua rekod dikehendaki polis membabitkan kes dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 22 Mac lepas mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, dengan sembilan individu dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau lima bulan penjara.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi satu minit 31 saat yang memaparkan satu pergaduhan di sebuah flet, sejak semalam. – Bernama