Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasminya ke Kemboja hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasminya ke Kemboja hari ini.

Lawatan sulung beliau itu atas jemputan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Rombongan kerajaan diketuai Anwar itu diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan pegawai kanan kerajaan.

Dalam rangka lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni.

Anwar juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Hun Sen, membincangkan peluasan kerjasama itu demi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja yang telah lama terjalin.

Dalam rangka program rasmi, Perdana Menteri turut akan bertemu dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja.

“Satu majlis Iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja telah diatur sebagai tanda penghormatan kepada Perdana Menteri.

“Ketika majlis Iftar itu, Anwar dijangka menyampaikan sumbangan naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer dan Inggeris kepada masyarakat Islam di Kemboja.

“Lawatan rasmi ini mencerminkan  hubungan mesra antara Malaysia dengan Kemboja dalam rangka dua hala serta ASEAN,” kata kenyataan Wisma Putra, hari ini.

Lawatan itu sekali gus memberi peluang kepada kedua negara untuk meneroka inisiatif bersama dalam bidang baharu berpotensi serta dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang mampan di Malaysia dan Kemboja,

Pada tahun 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelapan terbesar di kalangan negara ASEAN.

Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja direkodkan pada USD683.6 juta iaitu meningkat 20.8 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021 sebanyak USD566.1 juta. – MalaysiaGazette