Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dana asing masih meninggalkan Bursa Malaysia dengan jualan bersih berterusan untuk minggu keempat berturut-turut.

Pelabur asing menjual bersih RM107.1 juta minggu lepas, lebih rendah berbanding jumlah jualan bersih sebanyak RM536.0 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research dalam laporan mingguannya berkata, jualan bersih tertinggi berlaku pada hari Isnin sebanyak RM88.5 juta, diikuti RM59.43 juta pada Khamis.

Semua hari lain pula menunjukkan aliran masuk bersih dengan jumlah RM40.8 juta.

Pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 15 hari dagangan, sejak 1 Mac.

Mereka telah melupuskan sejumlah RM1.89 bilion ekuiti tempatan pada tahun ini.

Daripada 12 minggu setakat tahun ini, mereka menjadi penjual bersih selama 9 minggu.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah penjagaan kesihatan (RM90.0 juta), pengangkutan dan logistik (RM24.4 juta) dan pembinaan (RM15.9 juta).

Manakala tiga sektor terbawah yang menyaksikan aliran keluar bersih asing ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM70.5 juta), utiliti (RM50.5 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM49.2 juta).

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus menyokong ekuiti domestik, belian bersih untuk minggu keempat berturut-turut.

Belian bersih mereka sebanyak RM13.5 juta minggu lepas, lebih rendah berbanding jumlah mingguan tertinggi pada 2023 dan tertinggi sejak minggu berakhir 9 Disember 2022 – minggu lepas sebanyak RM566.7 juta.

Sama seperti dana asing, pelabur institusi tempatan juga menunjukkan pelaburan bercampur minggu lepas dengan aliran masuk paling kukuh dilihat pada hari Isnin pada RM56.8 juta, dan aliran keluar terbesar pada hari Jumaat sebanyak RM77.90.

Berbeza dengan pelabur asing, mereka menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 1 Mac kecuali pada 22 Mac dan 24 Mac.

Mereka telah beli bersih RM1.78 bilion ekuiti, dengan belian bersih 9 daripada 12 minggu.

Pelabur runcit pula bertukar menjadi pembeli bersih pada kadar RM84.7 juta minggu lepas.

Begitu juga, dana asing dan pelabur institusi tempatan, mereka melakukan tiga belian bersih dan dua hari jualan bersih minggu lepas.

Aliran masuk bersih paling kukuh dicatatkan pada hari Jumaat sebanyak RM65.2 juta.

Manakala aliran keluar bersih terbesar berlaku pada hari Selasa sebanyak RM21.1 juta

Setakat ini, pelabur runcit telah membeli bersih RM99.5 juta ekuiti dengan tujuh daripada 12 minggu adalah belian bersih.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 16.3%, institusi tempatan sebanyak 25.3% dan pelabur asing sebanyak 41.1%. – MalaysiaGazette