Cheng San menunjukkan gambar 11 warga asing ditahan polis dalam serbuan di Juru pada Khamis lalu.

BUKIT MERTAJAM – Tindakan sekumpulan warga China dan Vietnam menyewa satu unit kondominium di Juru di sini bagi mengadakan parti liar membawa padah selepas kesemuanya diberkas polis pada Khamis lalu.

Bertindak atas risikan sepasukan polis dari Bahagaian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu kediaman tersebut pukul 12.30 tengah malam yang turut membawa kepada rampasan dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 11 suspek berusia 18 hingga 54 tahun.

Cheng San (kanan) menunjukkan dadah dalam bentuk jus yang dirampas pihaknya.

Jelas beliau, mereka terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga China manakala enam lagi wanita Vietnam.

Kata Cheng San, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga bungkusan serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 117 gram (g) bernilai RM5,850 serta dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 2.42 g bernilai RM363.

“Selain itu, kita turut menemui jus nanas dalam jug kaca yang dipercayai bercampur cecair dadah MDMA yang dianggarkan sebanyak 700 mililiter bernilai RM500.

Antara dadah yang dirampas dalam milikan warga asing tersebut.

“Siasatan mendapati unit kondominium terbabit disewa oleh wanita warga China berusia 44 tahun dengan kadar sewa lebih RM1,000 dan kesemua mereka merupakan rakan selain mempunyai dokumen perjalanan yang sah ke negara ini.

“Selain itu, hasil ujian air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

Mengulas mengenai bekalan dadah yang diperoleh suspek, Cheng San berkata, bahan terlarang itu dibawa oleh salah seorang dari mereka yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Siasatan lanjut mendapati ada antara suspek telah berkahwin serta dijadikan perempuan simpanan oleh warga tempatan.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai segala kemungkinan aktiviti jenayah yang dilakukan kumpulan warga asing itu termasuk kegiatan penipuan dalam talian di negeri ini.

“Kita curiga mereka masuk ke negara ini dengan visa pelancong selain tiada pekerjaan yang dilakukan jadi ini semua elemen yang kita siasat untuk kenal pasti sama ada mereka terlibat dengan jenayah lain atau tidak.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 29 Mac  ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Cheng San. – MalaysiaGazette