Keadaan kereta Myvi yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3.9 Lebuhraya Kemuning, Shah Alam, pagi tadi. - Foto Ihsan JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Myvi maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3.9 Lebuhraya Kemuning, Shah Alam, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.21 pagi.

Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Perodua Alza.

Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa, seorang wanita warga emas terbabas dan melanggar pembahagi jalan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Seksyen 18 menuju ke Kota Kemuning.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis. – MalaysiaGazette